Search This Blog

Sunday 15 April 2012

Keratan Akhbar Metro Ahad - 15 April 2012

Keratan Akhbar "Metro Ahad" - 15 April 2012
Ruangan 'Gigs"





Cabaran mental, fizikal

Oleh KASDI ALI
kasdi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ADUH...seorang ahli kelab terjatuh ketika melalui laluan lumpur berbatu.
ADUH...seorang ahli kelab terjatuh ketika melalui laluan lumpur berbatu.
SUNTIKAN adrenalin ketika melalui laluan berbatu sempit sambil mengelak terjatuh ke dalam gaung di kiri dan kanan jalan menjadi inspirasi semangat ahli kelab ‘CRANKers Xtreme 1Malaysia’ (CX1M).
CX1M memilih basikal bukit kerana aktiviti sukan ini menawarkan cabaran tersendiri yang mampu memenuhi kepuasan diri setiap kali turun berkayuh.
Yang menarik, ahli kelab meliputi pelbagai latar belakang kerjaya, termasuk pengarah, pengurus besar dan eksekutif syarikat.


   
  • Foto CEKAP...aktiviti berbasikal bukit memerlukan skil untuk mengawal keseimbangan badan dan cepat bertindak balas.
  • Foto LASAK...aktiviti berbasikal bukit memerlukan
    ketahanan mental dan fizikal.
  • Foto REDAH...anak sungai antara laluan rintangan mencabar buat peminat basikal bukit.
  • Foto BIMBINGAN...Ahmad Hashimi memberi nasihat dan tunjuk ajar setiap kali aktviti bermula dan berakhir.
  • Foto CABARAN...memikul basikal menjadi perkara biasa buat peminat basikal lasak.


Namun setiap kali keluar rumah untuk menyertai aktiviti, ahli turut meninggalkan jawatan dan status diri masing-masing, sebaliknya hanya semangat setiakawan menjadi keutamaan.

Bagi pengasas merangkap pengurus CX1M, Ahmad Hashimi Abdul Manap, 48, beliau mendapat ilham menubuhkan kelab itu lima tahun lalu selepas menyertai konvoi berbasikal anjuran sebuah persatuan berbasikal tempatan di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Hashimi berkata, selain sambutan memberangsangkan apabila disertai lebih 150 peserta dari seluruh negara, dia tertarik kerana berbanding laluan di jalan raya biasa, konvoi berkenaan melalui trek ‘off road’ iaitu di dalam kawasan ladang kelapa sawit, laluan berbatu dan berlumpur serta denai di hutan.

“Biarpun aktif berbasikal lebih 10 tahun lalu, ia sekadar suka-suka dan di atas jalan raya. Saya tak pernah berkayuh di laluan seperti itu.

“Pengalaman kali pertama menunggang basikal bukit di trek berkenaan sungguh mencabar dan ada ketika menggerunkan, terutama ketika melalui laluan sempit di tepi gaung,” kata bapa kepada dua anak itu.

Susulan itu, Hashimi mengajak beberapa rakan sepejabat yang berkongsi minat sama untuk melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan pada hujung minggu sebelum mereka sepakat menubuhkan kelab ini.

Katanya, selain fizikal dan mental, penunggang basikal bukit juga perlu memiliki kemahiran seperti mengawal keseimbangan diri, skil menukar gear dengan cepat dan pada masa sesuai serta keberanian ketika melalui laluan mencabar.

Pengurus besar syarikat swasta beribu pejabat di Selangor ini berkata, selain rakan sepejabat, kelab CX1M disertai ahli luar kerana ia terbuka untuk
sesiapa saja yang meminati sukan ini.

“Ada rakan sejawatan, termasuk daripada syarikat lain, mentertawakan saya apabila memilih aktiviti ini kerana anggap ia tidak ‘eksklusif’ dan kotor seperti sukan tertentu. Bagi saya, setiap individu mempunyai minat berbeza.

“Saya minat berbasikal lasak kerana ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal serta bagus untuk kesihatan diri. Lumpur dan debu mungkin mengotori pakaian anda, tapi inilah sebahagian cabaran yang memberikan kepuasan kepada saya,” katanya.

Dia yang menggunakan basikal bukit jenis Merida TFS 300 berkata, berbasikal bukit menjadi aktiviti mingguan kelab dengan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menjadi pilihan.

Katanya, antara lokasi pilihan ahli kelabnya ialah di Hulu Yam Bharu, Kemensah, Putrajaya, Melawati, Kepong, Shah Alam, Kuala Kubu Bharu dan Putrajaya Extreme Park.

Menurutnya, kecuali Putrajaya Extreme Park, lokasi lain menawarkan laluan semula jadi iaitu di dalam ladang kelapa sawit, hutan, bekas lombong
dan kawasan berbukit.

Sementara itu, ahli kelab, Azam Fairuz Mohd Zin, 49, tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak bahawa berbasikal bukit sukan ‘kelas bawahan’.

Kata bapa kepada tiga anak itu, berbasikal bukit memiliki kelebihannya tersendiri dan daripada satu aspek, ia lebih baik daripada sukan tertentu yang dikatakan eksklusif dan sesuai untuk individu berjawatan sepertinya.

“Berbasikal bukit memberikan kepuasan diri kepada saya kerana selain baik untuk kesihatan, cabaran mentalnya mampu menajamkan minda, sekali gus berfikiran lebih kreatif apabila bekerja.

“Paling bagus ialah, ia boleh meningkatkan ketahanan dan stamina diri secara keseluruhan, terutama buat individu berusia seperti saya,” katanya yang juga pengurus operasi penyelenggaraan syarikat swasta.

Bagi Mior Shah Rizan Mior Bashah, 44, aktiviti berbasikal bukit sesuai untuk setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa kerana ia tidak memerlukan modal besar.

Katanya, ia bergantung kepada kemampuan seseorang, sama ada untuk tujuan riadah bersama keluarga atau aktiviti ekstrem.

“Basikal bukit pertama saya berharga RM300 dan hanya digunakan untuk kegiatan riadah sekitar taman perumahan tempat tinggal bersama ahli keluarga.

“Namun selepas menyertai kelab CX1M, saya membuat keputusan membeli basikal jenis Giant XTC buatan khas kerana ia lebih ringan dan tahan lasak,” katanya.

Wan Saiful Izudin Abdullah, 32, berkata berbasikal bukit kini antara aktiviti sukan lasak popular dan memiliki peminat hampir di seluruh negara.

“Kami bertemu ramai penunggang basikal bukit, masing-masing daripada latar belakang kerja berbeza, setiap kali menjalankan aktiviti kayuhan mingguan di lokasi berlainan.

“Saya memilih aktiviti ini kerana kesibukan kerja membuatkan saya tiada masa untuk bersenam. Justeru, saya menggunakan kesempatan berkayuh setiap hujung minggu untuk menjaga kesihatan diri,” kata juruteknik syarikat swasta itu yang menggunakan basikal jenis Avanti Montari 264.

Pendapat sama turut dikongsi eksekutif pemasaran, Hamdan Hassan, 35, apabila kesihatannya semakin baik sejak mula kembali aktif berbasikal tiga tahun lalu dengan menyertai CX1M.

“Yang menarik mengenai kelab CX1M ialah, ia tidak mengutamakan penyertaan dalam pertandingan, sebaliknya hanya menjadikan berbasikal bukit bersama sebagai aktiviti mingguan.

“Sebelum ini, keadaan fizikal saya kurang baik apabila mudah letih dan cepat hilang tumpuan ketika bekerja. Alhamdulillah, selain kualiti kerja meningkat, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga ketika pulang ke
rumah apabila tidak terus tidur akibat keletihan,” kata bapa kepada tiga anak itu.



PROFIL

NAMA: Ahmad Hashimi Abdul Manap
UMUR: 48 tahun
STATUS: Berkahwin
ANAK: Dua
KARIER: Pengurus besar
PENGALAMAN BERBASIKAL: Lima tahun
MODEL BASIKAL: Merida TFS 300


NAMA: Mior Shah Rizan Mior Bashah
UMUR: 44 tahun
STATUS: Berkahwin
ANAK: Dua
KARIER: Artis grafik
PENGALAMAN BERBASIKAL: Tiga tahun
MODEL BASIKAL: Giant XTC


NAMA: Azam Fairuz Mohd Zin
UMUR: 49 tahun
STATUS: Berkahwin
ANAK: Tiga
KARIER: Pengurus operasi penyelenggaraan PENGALAMAN BERBASIKAL: Lima tahun
MODEL BASIKAL: Merida Matts 70


NAMA: Wan Saiful Izudin Abdullah
UMUR: 32 tahun
STATUS: Berkahwin
ANAK: Dua
KARIER: Juruteknik PENGALAMAN BERBASIKAL: Dua tahun
MODEL BASIKAL: Avanti Montari 264


NAMA: Hamdan Hassan
UMUR: 35 tahun
STATUS: Berkahwin
ANAK: Tiga
KARIER: Eksekutif pemasaran
PENGALAMAN BERBASIKAL: Tiga tahun
MODEL BASIKAL: Merida

No comments:

Post a Comment